Sponsors

Selasa, 31 Desember 2013

Laporan Audit PPPR Kesal Kelemahan Berulang


KUALA LUMPUR – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) kesal kerana kelemahan masih berlaku dalam sistem tender, pembekalan dan pembelian serta prosedur operasi standard (SOP) pentadbiran kerajaan meskipun perkara itu pernah didedahkan menerusi laporan Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Johan Jaaffar berkata, meskipun PPPR menghargai pelbagai pembaikan yang dilakukan oleh kementerian, agensi, kerajaan negeri dan syarikat kerajaan berdasarkan teguran dalam laporan tahunan sebelum ini, tetapi kelemahan sama masih wujud berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“PPPR antaranya mengambil serius kurangnya pengawasan ke atas pembekal dan kontraktor hingga berlaku mutu kerja yang tidak memuaskan. Kami kesal kerana laporan pada tahun ini menunjukkan kelemahan dan kesilapan yang sama berulang walaupun telah didedahkan dalam laporan tahunan sebelum ini.

“Panel ini mengambil serius kelemahan yang didedahkan yang bukan sahaja membolehkan salah guna kuasa dan rasuah tetapi menjejaskan sistem penyampaian kerajaan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini,

Johan seterusnya memaklumkan PPPR memberi perhatian serius berhubung kecuaian sistem kawalan dan penjagaan hingga membolehkan peralatan dan barangan termasuk senjata api hilang daripada simpanan polis.

Justeru, katanya, PPPR menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan membuat cadangan konkrit bagi mengatasi sebarang kelemahan dengan serta merta.

Menurutnya, PPPR turut menggesa KSN mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem sedia ada bagi mengelakkan kelemahan sama berulang dan pada masa sama kerajaan negeri dan syarikat kerajaan mengambil tindakan segera menangani semua kelemahan yang ada.

Beliau turut menyokong cadangan supaya Laporan Ketua Audit Negara dibuat lebih kerap iaitu tiga kali setahun supaya pemantauan dan pengawasan dapat dibuat segera dan sebarang kelemahan dibetulkan dalam waktu yang lebih cepat.

“PPPR menyokong sebarang langkah memperbaiki pentadbiran awam bagi menutup ruang dan peluang pada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar